Dewan Ariffin PPD Jerantut, 10 September 2013 - Taklimat Transformasi Asrama turut diadakan untuk Kaunselor Daerah Jerantut. Ini bertujuan memberi penjelasan bahawa peranan kaunselor bukan sahaja di sekolah malah di asrama.
Kertas Konsep Transformasi Asrama Harian telah dibentangkan dalam Mesyuarat Pengurusan Pendidikan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) Bil 4/2012 pada 12 Julai 2012 di Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 (PPPM) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 11 September 2012, beberapa aspek inisiatif dan pelaksanaan telah dibuat penambahbaikan untuk mengambilkira dan diselaraskan dengan pelaksanaan PPPM. Transformasi Asrama Harian ini seterusnya telah dilabelkan sebagai Inisiatif Sedia Ada, BPSH dalam Pelaksanaan PPPM 2013 – 2025 peringkat KPM. Sehubungan itu, Mesyuarat Pengurusan Pendidikan (KPPM) Bil. 6/2012 pada 06 – 08 November di Kelantan memutuskan Transformasi Asrama Harian dilaksanakan mulai 2013.
Transformasi Asrama Harian memberikan fokus kepada 4 bidang utama iaitu Pengurusan & Pentadbiran Asrama, Penjanaan Kejayaan Akademik, Penjanaan Sahsiah & Disiplin Murid dan Penjanaan Kebitaraan Asrama dalam Kokurikulum dan Sukan. Keempat-empat bidang ini dirangka menggunakan kerangka Aspirasi Sistem dan Aspirasi Murid yang digariskan dalam PPPM 2012 – 2025 agar pelaksanaan Transformasi ini selari dan menyokong hasrat PPPM.
Transformasi Asrama Harian menggunakan Tema “KEMENJADIAN MURID ASRAMA TANGGUNGJAWAB BERSAMA” ini turut mengambil kira 8 daripada 11 anjakan PPPM dalam menggerakkan Transformasi ini agar impak yang dihasratkan dalam Transformasi dan PPPM dapat dicapai.
Pelaksanaan Transformasi ini dilihat impak dan kejayaannya melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan berdasarkan Aspirasi Sistem iaitu AKSES (Peningkatan Enrolmen Murid Asrama), KUALITI (Peningkatan Gred Purata Asrama dalam Peperiksaan Awam (UPSR & SPM), Penurunan Bilangan Murid Terlibat Buli Di Asrama & Kebitaraan Asrama Dalam Kokurikulum/Sukan) dan EKUITI (Meningkatkan Bilangan Asrama Band 1 & 2).
Impak yang dihasratkan terutamanya kepada murid, guru, sekolah/asrama dan ibu bapa yang membolehkan matlamat transformasi untuk menjadikan ASRAMA SEBAGAI KEDIAMAN YANG MENJAMIN KEJAYAAN MURID dapat dicapai.
Transformasi Asrama Harian 2013 – 2020 dilaksanakan dalam 4 fasa ( Gelombang 1 dan 2 PPPM ) iaitu Fasa 1 (Jan-Mei 2013), Fasa 2 (Julai-Disember 2013), fasa 3 (2014-2015) dan Fasa 4 (2016-2020).
Bagi tujuan penyeragaman, satu Pelan Strategik, Taktikal dan Operasi telah disediakan sebagai panduan kepada asrama sekolah untuk penyediaan perancangan dan penetapan sasaran khusus bagi setiap sekolah berasrama.
|
No comments:
Post a Comment