Guru turut berperanan lahir jaguh sukan
Ketua Unit Pembangunan Kemanusiaan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD)
Jerantut, Jamalruddin Samsudin berkata, guru memainkan peranan yang
penting melahirkan seorang atlet berjaya.
"Sekolah umpama kilang yang mengeluarkan jaguh-jaguh sukan tanah air
kerana bakat mereka bermula di bangku sekolah sebelum dikembangkan ke
peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
"Jadi guru-guru yang ada di sekolah bukan sahaja mempunyai kepakaran
dalam bidang akademik malah turut pakar dalam bidang sukan atau
kokurikulum," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penutup Kursus
Jurulatih Pelaksanaan Dasar 1 Murid 1 Sukan selama tiga hari di Sekolah
Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Saujana, di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Pengelola Cemerlang Sukan Jabatan Pelajaran Negeri
Pahang, Hashim Abd. Rahim dan Penyelia Sukan PPD Jerantut, Supian Kasim.
Kursus tersebut disertai seramai 120 guru dari sekolah menengah dan
rendah sekitar daerah ini yang dikendalikan jurulatih utama peringkat
negeri melibatkan 10 jenis sukan termasuk bola sepak, bola tampar, ping
pong dan badminton.
Jamalruddin berkata, kursus itu penting kerana semua pelajar sekolah
sama ada menengah atau rendah perlu melibatkan diri sekurang-kurangnya
dalam satu jenis sukan mulai tahun lepas.
"Kursus ini memberi latihan sempurna kepada para peserta bermula
daripada pengenalan setiap sukan, peralatan digunakan, undang-undang dan
cara bermain dan manipulasi alatan," ujarnya.
Menurutnya, kursus itu juga dapat melahirkan semangat kerjasama,
komunikasi yang baik dan kreativiti guru untuk mengendalikan sesuatu
jenis sukan bagi menarik minat pelajar.
Pada masa sama, peserta kursus turut diterapkan dengan cara-cara
pengurusan kelab sukan, perancangan dan pengelolaan sesuatu kejohanan
serta sistem pertandingan yang akan dijalankan.
"Saya berharap kursus ini dapat melahirkan guru-guru yang pakar dalam
setiap jenis sukan yang dipertandingkan dan mereka berusaha melahirkan
pelajar-pelajar yang akan bergelar jaguh satu hari nanti selain
memartabatkan sukan di daerah ini," jelasnya.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0530&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pahang&pg=wp_07.htm
No comments:
Post a Comment